Make your own free website on Tripod.com
ESEI

INOVASI PENDIDIKAN DI UNIVERSITI
 

PENDAHULUAN :

Semakin moden dan semakin canggih kehidupan di dunia ini, semakinlah banyak perubahan dan pembaharuan yang dilakukan. Inovasi adalah proses membawa perubahan dan pembaharuan, ini adalah penting dalam membina budaya organisasi supaya sesuatu organisasi itu tidak berhadap dengan kebuntuan dan tidak menjadi statik. Yang penting organisasi itu berupaya mengatasi masalah dan mampu berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tuntutan perubahan kemajuan seperti teknologi, budaya, politik, sosial dan ekonomi serta komunikasi yang semakin moden.

Inovasi melibatkan perkembangan idea dan pemikiran yang bersifat kreatif dan inovatif. Inovasi selalunya dikaitkan dengan rekaan dan penemuan baru yang dapat membawa prospek baru kepada perubahan kemajuan dan pembaharuan.

Selain itu, inovasi boleh ditakrifkan sebagai perspektif sistem, berasaskan teori bahawa manusia dam masyarakatnya mempunyai keinginan untuk terus maju dan boleh membangun ke arah sesuatu yang lebih baik daripada apa yang sedang mereka alami. Terdapat juga pandangan yang menghuraikan inovasi sebagai idea, amalan atau bahan yang boleh membawa pembaharuan kepada seseorang individu atau sistem sosial. Pandangan ini menjelaskan bahawa inovasi adalah idea, latihan atau objek yang dianggap ‘baru’ oleh individu. ‘Baru’ dalam konteks inovasi tidak bermaksud idea, amalan atau bahan yang telah diketahui atau disedari tetapi masih belum diterima. ‘Baru’ menekankan sebarang idea dan amalan yang menunjukkan tanda-tanda penerimaan disebabkan terdapat perbezaan dan pembaikan ke arah yang lebih baik daripada yang lepas.

Inovasi pendidikan boleh dikatakan sebagai sebarang bentuk polisi baru, silibus, kaedah atau perubahan organisasi baru yang bertujuan untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran. Inovasi pendidikan juga membawa maksud pembaharuan, pembaikan, pengubahsuaian atua pemulihan terhadap pendidikan yang sedia ada. Ini menjadikan pendidikan yang sedia ada lebih baik , lebih sempurna dan lebih sesuai dengan keperluan negara.
 
 
 
 

TEKNOLOGI PENDIDIKAN SEBAGAI SISTEM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
 

Pada awal 60an, teknologi ditekankan sebagai reka bentuk pengajaran atau sistem pengajaran. Pandangan ini berkembang sebagai tindakan unutk menyelesaikan masalah-masalah pendidikan samada latihan atau program tertentu.

Sehubungan ini, para pendidik perlu menguasai pengetahuan yang cukup dan kemahiran yang lengkap berkaitan dengan teknologi dalam pendidikan.

Teknologi pendidikan bukanlah sesuatu yang menyusahkan. Jika ia dipandang dari segi positif, ia sebenarnya menyenangkan kerja seseorang pendidik dalam penyampaian maklumat.

Secara umunya, penggunaan teknologi dalam pendidikan mempunyai beberapa kebaikan iaitu :

  1. Memotivasikan pelajar

  2. Penggunaan ABM yang pelbagai dapat menarik minat, menggalakkan penglibatan pelajar dalam proses pembelajaran. Selain itu, ia juga menambahkan persepsi kawalan iaitu mereka suka dengan apa yang mereka lakukan. Sebagai contoh ialah melihat video dan bermain perisian pendidikan.
     
     
  3. Mengaitkan dengan kehidupan

  4. Membantu pelajar mengaitkan pembelajaran dengan kehidupan dan memenuhi matlamat kurikulum iaitu penyelesaian masalah dan pemikiran kritikal, kemahiran pengurusan maklumat dan keupayaan berinteraksi dengan orang lain.
     
     
  5. Alat sokongan dan perkongsian                                                                                                   Alat sokongan dalam aktiviti pembelajaran kooperatif, perkongsian ilmu dan kemahiran penyelesaian masalah seperti maklumat dari internet dan keratan akhbar.
  TEKNOLOGI PENDIDIKAN DI UNIVERSITI

Pada masa sekarang, proses pengajaran dan pembelajaran di universiti hanya bergantung kepada beberapa saluran sahaja. Kebanyakan pensyarah da profesor hanya menggunakan Overhead Projektor ( OHP ) dan transparensi OHP untuk menyampaikan isi kandungan kuliah. Ini adalah tidak mencukupi kerana pergantungan kepada OHP tidak dapat memberi maklumat yang menyeluruh dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Universiti sebagai institusi sosial pendidikan mempunyai jangkaan tujuan dan peranan kepada masyarakat. Untuk mencapai tujuan ini, universiti seharusnya mengadakan inovasi dalam pendidikan. Dalam zaman ledakan teknologi canggih ini, penggunaan teknologi multimedia dan teknologi maklumat dalam universiti menjadi satu kemestian.

Dengan kemudahan canggih IT ( Information Tecnology ) khususnya dari segi penyampaian ilmu dan maklumat , kemungkinan besar dunia akademik alaf baru akan perubahan yang memberangsangkan.
 
 
 
 
 

CADANGAN-CADANGAN UNTUK MENGUBAH TEKNOLOGI PENDIDIKAN DI UNIVERSITI

Dalam zaman yang berteknologi maklumat, penguasaan IT khususnya dalam bidang pendidikan menjadi satu keperluan yang tidak boleh diabaikan. Oleh itu, universiti sebagai institusi pengajian tinggi perlu mengambil alternatif unutk mengubahsuai teknologi pendidikan.

Antara inisiatif yang boleh diambil adalah :

  1. penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran
  2. penggunaan multimedia dalam pendidikan
  3. penggunaan internet dalam pengajaran dan pembelajaran
  4. mewujudkan perpustakaan digital

 
 

PENGGUNAAN KOMPUTER DALAM PENGAJARAN & PEMBELAJARAN

Komputer adalah bahan yang terhasil daripada pemasangan pelbagai litar elektronik yang diprogramkan untuk mengolah, menyimpan dan menyebarkan pelbagai maklumat. Komputer digunakan untuk mengira, membuat penyelesaian dan keputusan logik, mengatur semula data dan menyimpan maklumat dengan lebih cekap, sistematik, padat dan tepat.

Dengan menggunakan komputer multimedia, pensyarah atau profesor boleh menyediakan bahan pengajaran dalam bentuk kertas edaran, bahan cetak, carta, slaid, pita audio atau pita video. Semua bahan yang terhasil boleh ditayangkan pada skrin monitar atau melalui LCD projektor. Bahan itu akan menjadi lebih menarik sekiranya dapat diimport grafik atau digital movie atau bunyi-bunyian daripada aplikasi lain.

Di universiti, pengajaran berbantukan komputer akan membolehkan pelajar berinteraksi dengan komputer melalui susunan pelajaran yang telah diprogramkan oleh profesor. Ia mungkin dalam bentuk nota, tutorial dan latihan. Pelajar akan menyiapkan projek atau tugasan dengan menggunakan komputer.

Penggunaan komputer dalam media pengajaran dan pembelajaran memenuhi hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi pelajar yang berfikiran kreatif dan inovatif. Jadi , pelajar dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dan perkembangan teknologi melalui penghasilan sesuatu reka cipta ke arah menjadi penyumbang kepada pembangunan teknologi negara.
 
 
 
 
 

PENGGUNAAN MULTIMEDIA DALAM PENDIDIKAN

Pada masa kini, teknologi dalam pendidikan dan teknologi multimedia sudah menjadi sebutan biasa di kalangan para pendidik.

Multimedia boleh didefinisikan sebagai gabungan di antara visual, audiio, grafik dan maklumat tekstual dengan menggunakn teknologi tunggal. Multimedia termasuklah peralatan komputer, pengimbas komputer ( hypermedia authoring ), digitizer audia dan video, pemain CD-ROM dan sebagainya.

Misalnya projek ACOT ( Apple Classrooms Of Tomorrow ) yang bermula pada tahun 1985 di Amerika Syarikat bertujuan untuk mengenalpasti kesan penggunaan teknologi , khususnya dalam preoses pengajaran dan pembelajaran. Projek ACOT menyediakan pelbagai kemudahan canggih dalam bilik darjah seperti komputer, pencetak, scanner, cakera laser dan video, modem, CD-ROM dan pelbagai perisian komputer. Rumusan projek ACOT mendapati bahawa kaedah penyampaian dan penyaluran ilmu dan maklumat dalam bilik darjah yang menggunakan IT telah bertukar kepada konstruksi. Dalam konteks ini, pelajar diberi garis panduan untuk meneroka sendiri bidang ilmu berdasarkan keupayaannya. Guru menyediakan kemudahan dan membimbing pelajar supaya berada di landasan yang betul.

Banyak juga universiti di seluruh dunia yang telah atau sedang merancang untuk menggunakan IT dengan lebih komprehensif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Jadi, pihak universiti tempatan seharusnya mengambil projek ACOT sebagai model dan mengubahsuainya agar menepati maklamat kerajaan untuk melatih pelajar-pelajar yang berpengetahuan IT.
 
 
 
 

PENGGUNAAN INTERNET DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Internet merupakan rangkaian komputer yang meluas meliputi seluruh dunia yang menghubungkan berjuta-juta komputer dari PC ( Personal Computer ) yang paling kecil hinggalah kepada sistem komputer yang paling besar.

Internet telah menjadi begitu popular di kalangan masyarakat Malaysia. Internet akan menukar kehidupan biasa kita dan memberi peluang pendidikan yang sungguh kompetitif bagi sesiapa sahaja yang ingin menghargai ilmu pengetahuan.

Pengajaran dan pembelajaran di peringkat tinggi sepatutnya tidak sepenuhnya bergantung pada nota kuliah. Menerusi penggunaan internet, pelajar boleh memperoleh nota kuliah di halaman Web World Lecture Hall dalam pelbagai displin ilmu. Selain itu, pelajar juga boleh mengikuti perkembangan terkini sesuatu displin ilmu dengan membaca jurnal, majalah atau laman Web menerusi internet. Pelajar juga boleh berhubung dengan profesor atau profesional dari seluruh dunia untuk mengetahui maklumat dengan lebih lanjut menerusi e-mel. Malah pelajar juga boleh menyediakan laman Web masing-masing untuk membolehkan mereka berinteraksi dengan rakan sekuliah atau dengan pelajar dari seluruh dunia. Selain itu, pelajar boleh menggunakan e-mel untuk mengemukakan masalah akademik , menghantar tugasan atau cadangan kepada profesor. Forum atau tutorial juga boleh diadakan menerusi ruang siber. " Interaksi Siber " ini ternyata lebih peribadi sifatnya dan menguntungkan pelajar.

Dengan kemudahan sidang video, ribuan pelajar dari pelbagai lokasi boleh mengikuti kuliah daripada seorang profesor. Teknologi satelit boleh membantu pelajar mengikuti siaran televisyen pendidikan samada kuliah atau rencana akademik.
 
 
 
 
 

MEWUJUDKAN PERPUSTAKAAN DIGITAL

Maklumat digital semakin menarik perhatian dunia akademik dan penerbitan kerana beberapa tarikan utama seperti berikut :

  1. maklumat eletronik mudah dipindahkan dari cakera ke cakera
  2. maklumat dapat dirangkaikan dari komputer ke komputer dan seterusnya ke internet
  3. maklumat dinamik dan bersifat multimedia dan hyperlink
  4. salinan mudah dibuat dan tidak menimbulkan ancaman kepada salinan asal
  5. tidak timbul masalah halaman yang tercicir atau sengaja dibuang
  6. menjimatkan penggunaan kertas yang semakin berkurangan dan mahal harganya
  7. penerbitan elektronik menjimatkan kos pengeluaran dan meningkatkan pengaksesan maklumat
Perpustakaan digital difahami sebagai hasil gabungan pangkalan data daripada perspektif pangkalan data, boleh lahir daripada aplikasi teknologi hiperteks dan dilihat sebagai lanjutan proses pengautomasian perpustakaan daripada perspektif penyebaran maklumat kawasan luas.
 

Internet dipilih sebagai prasarana asas perpustakaan digital kerana faktor-faktor berikut :

  1. internet merupakan model topologi rangkaian yang mempunyai sifat persekitaran rangkaian tersebar
  2. internet mempunyai teknologi himpitan dan media storan yang boleh memberi laluan kepada perjalanan rangkaian
  3. internet menyediakan kelajuan dan lebar jalur untuk membantu pengguna mengakses pangkalan data penerbitan elektronik yang besar
  4. internet merupakan teknologi akses berangkaian yang dapat digunakan untuk berinteraksi dan memanipulasi dan dikembangkan menjadi "one-stop-shopping" bagi mendapatkan maklumat digital dari seluruh dunia
Walau bagaimanapun, kos operasi perpustakaan digital lebih tinggi. Ini kerana perlunya prasarana komunikasi yang melibatkan pembangunan rangkaian optik gentian dan komputer. Selain itu , ia juga memerlukan kos yang tidak diketahui untuk peralatan dan perisian komputer yang tercanggih. Ternyata bahawa pengurusan perpustakaan digital bukan satu perkara mudah. Ia memerlukan peruntukan kewangan daripada pihak kerajaan dan pengurusan daripada pentadbir dan kakitangan universiti-uinversiti tempatan. Perpustakaan digital mungkin mengambil masa yang panjang untuk menyempurnakannya. Namun dalam persekitaran hipermedia dan ruang siber yang membolehkan penyebaran maklumat berlaku dengan secepat kilat , pembangunan dan perkembangan perpustakaan digital dan internet bukan lagi masalah.
 
 
 
 

PENUTUP

Secara ringkas dapat disimpulkan bahawa inovasi adalan satu bentuk pengubahsuaian dari segi aspek peningkatan dan inovasi dibuat setelah pertimbangan yang wajar dilaksanakan secara berhati-hati.

Strategi pelaksanaan bagi menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran yang bersifat IT dan multimedia, mestilah mengambil kira matlamat pelaksanaan, peruntukan kewangan, kepakaran dalaman dan kemudahan IT untuk kegunaan pelajar.

Dunia akademik alaf baru yang intim dengan pekembangan IT dijangka akan mempunyai lebih ramai pengguna dan bersifat global serta boleh dijangkaui oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia, status sosial dan negara.

Oleh kerana negara kita tidak mahu ketinggalan dalam arus pemodenan, maka wajar sistem pendidikan di Malaysia menuju ke arah sistem pendidikan yang berteraskan bidang teknologi maklumat. Jika kita berjaya menguasai IT, corak dan taraf hidup rakyat negara ini akan turut berubah berteraskan bidang teknologi maklumat.
 
 
 
 
 
 

RUJUKAN

Desberg, P. & Fisher, F. 1995. Teaching with technology. Boston : Allyn & Bacon.

Dewan Bahasa dan Pustaka. 1998. Dewan Budaya Februari 1998. Kuala Lumpur :

Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dewan Bahasa dan Pustaka. 1998. Dewan Budaya Januari 1998. Kuala Lumpur :

Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jamaludin Badusah, Muhammad Hussin & Abd. Rasid Johar. 2000. Inovasi dan

    Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Banting, Selangor : AJM Publishing Enterprise.

Rashidi Azizan dan Abd. Razak Habib.1996. Pengajaran Dalam Bilik Darjah : Kaedah

    dan Strategi. Kajang : Masa Enterprise.

Zoraini Wati Abas. 1994. Komputer Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur : Penerbit Fajar

    Bakti Sdn. Bhd.