Make your own free website on Tripod.com
Tugasan
 

PERBEZAAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN DENGAN TEKNOLOGI PENGAJARAN

1.1 PENDAHULUAN
Kita selalu mendengar orang menyebut istilah teknologi pendidikan tetapi kurang sekali mendengar orang memperkatakan mengenai teknologi pengajaran atau sistem-sistem teknologi pengajaran.  Sebenarnya terdapat perbezaan makna dan pengertian di antara keduanya yang nanti akan dikupas dalam bab ini.

Teknologi pendidikan adalah satu bidang ilmu yang luas lagi kompleks.  Mengikut AECT, dalam buku The Definition of Technology  (1977).  Teknologi pendidikan adalah lebih luas bidangnya daripada teknologi pengajaran jika kita dapat menerima hakikat bahawa bidang pengajaran adalah suatu set kecil dalam pendidikan.  Memandangkan bidang teknologi pendidikan itu terlalu luas lagi kompleks, ada baiknya dihadkan atau dikecilkan skopnya kepada teknologi pengajaran supaya lebih tepat, sesuai dan praktikal bagi setiap pendidik yang tugas utamanya adalah memudah dan memajukan proses pengajaran dan pembelajaran.

1.2   APAKAH TEKNOLOGI PENDIDIKAN
Di  Malaysia kepentingan teknologi pendidikan di institusi pendidikan telah mula diperdebatkan sejak tahun 1970-an lagi. (Yusup, 1991).  Dalam seminar, bengkel, forum, jurnal, majalah, akhbar dan lain-lain media sebaran am, isu teknologi pendidikan sering mendapat perhatian.

Pengaruh teknologi pendidikan bermula dengan penggunaan bahan visual seperti gambar, carta dinding, peta, glob, bahan realia, model-model dan bahan terbuang.  Di samping itu, papan hitam, papan flanel, papan kenyataan dan papan magnet merupakan alat-alat utama bagi menyampaikan pengajaran manakala pelajar-pelajar pula menggunakan papan batu dan bahan-bahan bercetak untuk pembelajaran.  Kemudian alat pandang dengar seperti projektor slaid, projektur filem jalur dan projektor 16mm telah mula digunakan terutamanya selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

1.3   DEFINISI TEKNOLOGI PENDIDIKAN
Yang berikut adalah beberapa definisi teknologi pendidikan :
1. Teknologi pendidikan adalah merupakan perkembangan, penggunaan dan penilaian terhadap sistem-sistem, teknik-teknik dan alat-alat bantuan mengajar untuk membaiki proses pembelajaran manusia. (NCET), National Council for Educational Technology, 1973)
2. Teknologi pendidikan menitikberatkan penggunaan kaedah-kaedah moden dan teknologi-teknologi secara sistematik dalam pengajaran dan pembelajaran.  Ia melibatkan guru dalam berbagai-bagai peranan tradisional dan peranan yang masih diperkembangkan.  Fokus utama ialah guru dan cara ia menyesuaikan diri dalam bilik darjah.
             (Leedham, John, Educational Technology : A First Look, 1973 hal.7)
3. Teknologi pendidikan kadang kala dikaitkan dengan komputer dan lain-lain alat media yang digunakan dalam pengajaran.  Namun demikian ada kecenderungan menyabitkan teknologi pendidikan dengan proses perancangan di mana suatu sistem pengajaran direka bentuk, dilaksana, dikawal dan dinilai untuk mencapai sesuatu objektif pembelajaran yang berkesan.  (Gagne, Robert dan Briggs Leslie J., Principle of Instructional Design, 1979, hal. 20)

Dalam konteks pendidikan masa kini, proses pengajaran dan pembelajaran tidak akan berlaku tanpa penglibatan teknologi pendidikan.  Teknologi pendidikan adalah perkembangan aplikasi, sistem penilaian, teknik dan bahan pengajaran untuk meningkatkan proses pembelajaran manusia (National Council of Educational Technology (NCET), United Kingdom 1973).  Teknologi pendidikan juga dikaitkan dengan corak sistem pengajaran berkomputer dan perkakasan media.  Walau bagaimanapun perkembangannya dihubungkaitkan teknologi pendidikan dengan proses dan perancangan di mana sistem pengembangan pengajaran dilaksanakan, dikawal dan dinilai.  Ia berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran tetapi bukan bermaksud komputer, TV dan lain-lain alat pengajaran tetapi teknologi pendidikan ialah arah pemikiran bagaimana matlamat pendidikan boleh dicapai oleh pelajar melalui kaedah tertentu.
Teknologi pendidikan dari segi pengertian dan konsep disimpulkan sebagai satu bidang yang disepadukan dengan bidang-bidang lain seperti teori, profesion, sistem, perkaedahan dan pendekatan.  Maka teknologi pendidikan mempunyai keupayaan untuk menyelesaikan sebahagian besar masalah yang terdapat di dalam pengajaran dan pembelajaran terutama sekali melihat kepada fenomena-fenomena yang sedang berlaku pada abad ini dengan ledakan ilmu pengetahuan pembanjiran maklumat dan teknologi yang tidak putus-putus sehingga memberi kesan secara langsung dan tanggung jawab yang besar kepada para pendidik.  Kesanggupan untuk mengatasi masalah-masalah dalam pendidikan telah banyak dibuktikan melalui amalan-amalan mahupun kajian-kajian yang dijalankan (AECT, 1967, Rajah 1.1)

Teknologi pendidikan juga satu cabang disiplin pendidikan yang mengutamakan penggunaan dan kemahiran dan teknik moden dalam bidang pendidikan dan latihan.  Di dalam teknologi pendidikan diutamakan penggunaan media, kaedah-kaedah lain dan penggunaan persekitran pelajar untuk menghasilkan proses pembelajaran (Unwin 1968).  Perkara yang penting bagi Unwin ialah kemahiran, teknik, pendidikan dan latihan.

Dari segi sejarahnya teknologi pendidikan bermula semenjak tahun 1920 dengan penggunaan radio dan TV sehinggalah kepada penggunaan komputer pada hari ini. (Cuban 1986).  Mengikut sejarah perkembangannya, teknologi pendidikan di Malaysia dibahagikan kepada tiga peringkat atau tiga zaman :
a. Zaman pra dan pos merdeka 1949-1971 : Perkembangan bahan visual dan pandang dengar.
b. Zaman 1972-1979 :  Pengaruh media komunikasi Radio dan TV Pendidikan.
c. Zaman 1980-1990 :  Perkembangan pengajaran berasaskan sumber dan pendidikan komputer.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Rajah 1.1   Pengertian teknologi pendidikan berdasarkan AECT  (1967)
 
 
 
 
 
 
 

Persatuan Teknologi Pendidikan (PTPM 1987) berpendapat, teknologi pendidikan sebagai satu proses menganalisis keperluan pendidikan bersistematik dan rasionalnya untuk mereka bentuk dan mengaplikasikan secara bersepadu yang melibatkan idea, alat, bahan, prosedur serta mengembleng tenaga ke arah peningkatan pengajaran dan pembelajaran yang merupakan objektif utama penggunaan teknologi pendidikan.  Oleh yang demikian teknologi pendidikan memberi penekanan kepada proses pembelajaran.

Pengertian atau takrifan teknologi pendidikan perlu kepada empat aspek yang berkaitan dengannya iaitu:
a. aspek perkakasan ialah peralatan berbentuk mesin yang digunakan oleh guru semasa menyampaikan sesuatu pengajaran.
b. aspek perisian pula bahan yang digunakan bersama-sama dengan perkakasan apabila menyampaikan pengajaran.  Gabungan kedua-dua aspek ini dapat dilihat pada rajah 1.2.
c. aspek penggunaan adalah segala pemikiran teknik, pendekatan dan kaedah   yang diambil kira semasa membina bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran.
d. Pendekatan sistem berdasarkan penyelidikan dan dapatan kajian seperti psikologi, pedagogi, teori-teori pembelajaran dan teori-teori komunikasi supaya bahan yang dibina sistematik dan saintifik.
 
 
 
 
 
 
 
 
 

                        Rajah  1.2  Hubungan Perkakasan dengan perisian

Kedua-dua aspek perkakasan dan perisian dikenali juga sebagai “teknologi dalam pendidikan” yang meliputi setiap alat yang digunakan bagi menyebarkan maklumat seperti penggunaan TV, makmal bahasa dan beberapa jenis peralatan lain. Pada asasnya ia juga dikenali sebagai alat bantu mengajar.  Pengertian teknologi pendidikan merangkumi ketiga-tiga aspek iaitu perkakasan, perisian dan penggunaan yang merupakan unsur-unsur penting dalam teknologi pendidikan.  Alat yang dipilih digunakan dengan sebaiknya bagi menyokong strategi pengajaran dan pembelajaran seperti penggunaan komputer dan alat yang lain.  Inilah yang dikenali sebagai pendekatan sistem dalam teknologi pendidikan yang dianggap sebagai inti teknologi dari pendidikan.  Mengikut Percival dan Elington (1984), ketiga-tiga aspek ini dapat digambarkan seperti rajah 1.3 di bawah.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Rajah 1.3  Hubungkait aspek-aspek teknologi pendidikan (Percival & Elington
                   1984)
 

Sebagai rumusan, teknologi pendidikan ialah sebagai satu bidang pengajaran dan kemahiran yang menitik beratkan aspek pengelolaan sistem pendidikan dan peraturan di mana sumber bahan ditumpukan untuk menghasilkan pendidikan yang bermutu dan sesuai digunakan untuk mencapai objektifnya dari masa ke semasa.

1.4   APAKAH TEKNOLOGI PENGAJARAN

Teknologi Pengajaraan adalah cabang daripada teknologi pendidikan.  Heinich (1982) menjelaskan bahawa teknologi pengajaran adalah teknologi yang bertanggung jawab menggabungkan kesemua yang diketahui oleh guru ke dalam satu sistem pengajaran.  …“Penggabungan berbagai-bagai teknologi dalam pengajaran ke dalam satu sistem pengajaran manusia mesin adalah tugas utama teknologi pengajaran…”
Laporan Suruhanjaya Teknologi Pengajaran, Amerika Syarikat (1970) menjelaskan pengertian umum teknologi pengajaran bermaksud media yang wujud daripada revolusi komunikasi yang boleh digunakan untuk mengajar seperti papan tulis dan buku teks.  Peralataan yang terdapat di dalam teknologi pengajaran ialah seperti TV, filem, projector, komputer dan bahan-bahan lain dianggap sebagai alat bersama bahan.

1.5  DEFINISI TEKNOLOGI PENGAJAARAN
Berikut ialah di antara beberapa definisi teknologi pengajaran :
1. Teknologi pengajaran dimaksudkan sebagai alat / bahan media yang lahir akibat dari revolusi komunikasi yang digunakan untuk tujuan pembelajaran di samping guru, buku teks dan papan hitam.  (Tickton, S.G., To Improve Leraning, 1970)
2. Teknologi pengajaraan adalah sebahagian daripada teknologi pendidikan yang mementingkan penggunaan proses saintifik dalam pengalaman pembelajaran.
                (ALA dan AECT, Media Program: District and School, 1975, hal. 112)
3. Teknologi pengajaraan boleh dimaksudkan sebagai penerokaan atau pencarian pengetahuan baru mengenai cara-cara paling baik manusia belajar mereka bentuk sistem atau bahan pengajaran.         (Heinich, Robert, ECTJ, The Proper Study of Instructional Technology, 1985, hal.67)
Dua komponen yang wujud dalam teknologi pengajaran ialah :
a. Alat-alat, bahan pengajaran dan rangsangan persekitaran pelajar yang dapat menimbulkan proses pembelajaran.
b. Proses pengajaran dikenali sebagai pendekatan sistem dalam teknologi pengajaran.

Teknologi pengajaran merupakan gabungan secara teratur dari segi perkakasan, perisian, seni mengguna dan mengendalikan pengajaran.  Penyatuan antara ketiga-tiga unsur ini akan menghasilkan pendekaatan pengajaran yang berkesan (Rajah 1.4) .  Teknologi ini melibatkan penggunaan kemahiran dan teknik moden dalam keperluan pendidikan dengan menggunakan media dan kaedah pengawasan persekitarn setakat mana ia menimbulkan proses pembelajaran. (Unwin 1968)
 
 
 
 
 
 
 

            Rajah 1.4  Perkaitan di antara teknologi pendidikan, teknologi pengajaran
                                 media pengajaran dan bahan pandang dengar.

Teknologi pengajaran melibatkan beberapa proses iaitu:
a. Penggunaan teknik moden :  berkaitan dengan kaedah pengajaran secara moden berasaskan kajian dan teori melibatkan alat perkakasan secara langsung atau tidak.  Contohnya ialah pengajaran terancang, pelajaran imbuhan, audio tutorial, pengajran individu dan akhbar dalam darjah dan sebagainya.
b. Kemudahan belajar :  peralatan, kemudahan yang menolong proses pengajaran dan pembelajaran seperti bangunan sekolah, bilik darjah, pusat sumber dan sebagainya.
c. Media : segala alat bantu mengajar dan alat pandang dengar, verbal
           dan non verbal yang dijadikan saluran bagi menyampaikan mesej
            pengajaran.
d. Kaedah menggunakan media :  proses, kaedah, strategi dan kemahiran
dalam menggunakan alat media.
e. Persekitaran : persekitaran tempat belajar yang selesa mempengaruhi
      pelajar dan guru.

Teknologi pengajaran terdapat tiga kaedah atau bentuk utama, iaitu :
a. Kaedah pendidikan jarak jauh yang melibatkan TV, internet, mel elektronik, radio, telefon, papan hitam elektrik, telesidang video, telesyarahan dan berbagai lagi bentuk komunikasi moden.
b. Kaedah pengajaran secara individu melibatkan makmal bahasa, makmal komputer, simulasi, pita slaid, telesidang audio dan lain-lain.
c. Kaedah dan sistem penyampaian melibatkan individu dan pusat-pusat sumber.

Kesimpulannya, teknologi pengajaran melibatkan ruang lingkup yang lebih luas termasuk identifikasi, kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran dan pengelolaan serta penggunaan alat dan bahan pengajaran.  Teknologi pengajaran lebih tertumpu kepada penggunaan dan penyusunan secara sistematik terhadap berbagai alat dan bahan teknologi yang boleh membantu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. (Abdul Rahim 1988).

Apabila dilihat konsep teknologi pendidikan dan teknologi pengajaran terdapat perbezaan bagi kedua-dua konsep tersebut.  Berdasarkan Abdul Rahim (1988) menyatakan teknologi sebagai satu implikasi atau pemindahan secara kreatif sains kepada keperluan industri atau apa-apa keperluan yang lain.  Sebaliknya sains sebagai himpunan ilmu pengetahuan atau segala ilmu yang telah teruji yang dapat dinyatakan dalam bentuk satu set prinsip-prinsip am.   Secara umumnya, teknologi pengajaran sebagai satu implikasi secara kreatif daripada sains bertujuan memberi latihan dalam pendidikan.

Di antara teknologi pendidikan dengan teknologi pengajaran, terdapat perbezaan hanya dari segi ruang lingkup sahaja.  Teknologi pendidikan meliputi keseluruhan organisasi pendidikan itu sendiri tetapi teknologi pengajaran terbatas kepada perkara-perkara yang berhubung dengan aktiviti-aktiviti pengajaran sahaja.  Ini melibatkan segala peranan, pengembangan, pengurusan dan sumber yang boleh memberi ke arah keberkesanan pengajaran.  Ini juga boleh melibatkan alat bantu mengajar, alat pandang dengar yang diadakan secara sistematik untuk membantu proses penyampaian.

1.6    PENUTUP
Teknologi sekali gus merupakan pengetahuan dan peralatan yang dihasilkan oleh seseorang atau sesebuah masyarakat bertujuan untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau cuba mempertingkatkan hasil dan memenuhi keperlun sosial, ekonomi dan politik individu atau masyarakat (Naim 1996).  Oleh itu secara umumnya, teknologi merangkumi dua komponen.  Pertama, komponen konkrit yang meliputi peralatan dan perkakasan seperti mesin dan sebagainya.  Komponen kedua berbentuk abstrak seperti tatacara, kaedah, teori, pendekatan dan teknik.  Komponen abstrak lebih bersifat dalaman yang ada pada seseorang atau kumpulan tertentu secara langsung ada kaitan dengan pengetahuan, pengalaman dan juga ada hubungan dengan budaya sesebuah masyarakat (Naim 1996).

Berdasarkan pernyataan berikut, teknologi bukan sahaja alat tetapi proses yang melibatkan akal manusia sebagai inputnya.  Akal ini bertindak menyatukan segala ilmu pengetahuan secara sistematik dan terancang bagi menghasilkan alat dan bukan alat.  Peralatan yang dimaksudkan seperti komputer, radio, TV, kaedah dan teknik.  Penyatuan antara alat dan bukan alat digunakan oleh manusia untuk menyelesaikan beberapa masalah yang boleh memberi kemudahan dan keselesaan dalam kehidupan.
LAMPIRAN

 DOMAIN TEKNOLOGI PENDIDIKAN DAN TEKNOLOGI PENGAJARAN
 

Sumber :  Diubahsuai dari The Definition of Educational Technology, AECT 1977
 
 
 

POWERPOINT
 

[home][prologue][shaz webpage][biodata][nota kuliah]