Make your own free website on Tripod.com

 

Pengantar Linguistik (ML 1013)

 

 

 

Soalan : Apakah linguistik?

Bolinger (1968) dalam prakata buku “Aspects of language”  menyatakan;
“ Pada hari ini seorang ahli linguistik akan dapat mengkaji kata adverba  sama seperti ahli sains mengkaji atom”

Pendek kata linguistik ialah satu sains bagi mengkaji bahasa. Bahasa digunakan sebagai bahan yang dikaji secara saintifik. Linguistik menjadi satu cabang ilmu yang mempunyai disiplinnya sendiri dan ianya mempunyai prinsip-prinsip tertentu dalam  kajiannya. Melalui pemeriksaan-pemeriksaan dengan membuat kesimpulan yang dapat dipertanggungjawabkan berdasarkan penyelidikan. Kajian-kajian seperti inilah yang akan dapat menimbulkan sesuatu sistem dan struktur daripada bahasa tadi.

Arbak Othman (1983) mendefinisikan linguistik sebagai suatu sains yang mengkaji bahasa. Ia mengandungi teori-teori dan teknik-teknik menganalisa bahasa yang dipelajari oleh ahli-ahli bahasa untuk menganalisa satu-satu bahasa itu. Teori-teori dan teknik-teknik menganalisa bahasa ini dirumuskan oleh ahli bahasa dari pemerhatian mereka terhadap bahasa. Dengan menggunakan teori-teori dan teknik-teknik dalam linguistik  itu seseorang ahli bahasa menurut kepercayaan mereka dapat menghuraikan serta menganalisa sesuatu bahasa secara objektif tanpa dipengaruhi oleh sebarang prasangka atau sentimen. Linguistik membolehkan seseorang pengkaji menganalisa bahagian-bahagian bahasa seperti kelainan-kelainan bentuk pertuturan, bentuk-bentuk deskriptifnya mahupun  perkembangan sejarah yang dilalui oleh perkataan-perkataan dan sebagainya. Pengkajian yang dilaksanakan tetap bersifat objektif dan imperikal sepanjang masa.

John Lyons (1972) mentafsirkan linguistik sebagai  kajian bahasa secara saintifik. Ia merangkumi dalam perbincangannya mengenai sifat-sifat di mana kita mengaitkan dengan sains (Crystal, 1968). Pemerhatian yang dilakukan sebelum pembinan hipotesis yang kemudiannya dikaji secara sistematik melalui ujikaji (eksperimen) dan pembinaan teori. Di dalam aplikasi kaedah saintifik dalam mengkaji bahasa, teori linguistik secara saintifiknya mestilah dibentuk atas dasar generalisasi induktif daripada peristiwa yang pertama diperhatikan dan dihuraikan secara sistematik. Dan pembentukan teori selanjutnya ditentukan dengan penghuraian data linguistik.

Crane (1981) menyatakan linguistik adalah kajian mengenai bahasa tidak seperti filologi yang berkaitan dengan analisis penulisan, linguistik adalah berkenaan dengan bahasa pertuturan dan kesukaran-kesukaran antropologi, psikoilogi dan sosiologi. Ianya pada satu masa mengkaji perubahan bahasa melalui sejarah dan dalam satu-satu masa tertentu, bagaimana bahasa digunakan dan bagaimana sepatutnya digunakan.

Moulton (1982) menyatakan linguistik adalah cabang pembelajaran yang mengkaji sebarang bahasa dan semua masyarakat manusia; bagaimana setiap bahasa itu dibina; bagaimana ianya berbagai-bagai dan bertukar mengikut masa dan bagaimana ianya berkaitan dengan bahasa lain serta bagaimana ianya digunakan oleh penuturnya.