Keroncong II (HK 1631)

 

 

Pendahuluan

Konsert Klasik UKM 2000 adalah merupakan kesinambungan siri-siri konsert klasik yang telah diadakan sebelum ini. Konsert yang diadakan pada hari Sabtu 8 Julai 2000 yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM Bangi  adalah merupakan konsert kali yang ke 6. Konsert ini adalah merupakan kerjasama di antara Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia dengan Bahagian Pembangunan Sosial dan Kebudayaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Kedua-dua pihak juga mempunyai cita-cita dan hasrat tersendiri. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur contohnya sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha untuk memupuk dan mempertingkatkan pembangunan kesenian masyarakat seluruhnya, sementara Universiti Kebangsaan Malaysia sudah semestinya ingin memupuk minat terhadap seni di kalangan siswa-siswinya dan dapat menjamin hasrat untuk memperkayakan seni bangsa dan negara dalam usaha mencapai matlamat Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Muzik dan irama klasik merupakan muzik yang sederhana dan mempunyai keunikannya tersendiri. Di antara yang penting sekali di dalam muzik klasik ialah disiplin terutama sekali dari segi melodi dan cara ianya dipersembahkan dan dihayati. Selain mempertingkatkan status muzik klasik dan memperdalami kemampuan masyarakat pelajar dalam persembahan sebuah konsert klasik dari pelbagai aspek termasuk pengurusan pentas, sistem pencahayaan, gubahan muzik Konsert Klasik UKM 2000 mempunyai  objektif-objektif  yang lain seperti;

? Memberi kefahaman kepada masyarakat kampus mengenai muzik klasik yang sebenar.
? Menarik minat masyarakat kampus, khususnya pelajar supaya melibatkan diri dalam aktiviti kesenian.
? Memberi pendedahan tentang muzik klasik kepada ahli kelab muzik klasik khasnya dan ahli-ahli Artisukma Pusat Kebudayaan amnya.

Aturcara Konsert Klasik UKM 2000:

Persembahan Kelab Tarian Artisukma.

Persembahan dimulakan dengan persembahan paluan rebana ubi dan kertuk oleh ahli-ahli Kelab Artisukma UKM.  Dua buah tarian bertajuk “Gurindam Jiwa” dibawakan oleh penari wanita Artisukma sementara penari lelaki pula mempersembahkan tarian zapin yang bertajuk “Lancang Kuning”

 Persembahan Orkestra DBKL
i. Puteri Sardu (Sinfonietta in D Minor)
Orkestra DBKL di bawah pimpinan Encik Ishak Haji Muda memulakan persembahannya dengan mendendangkan lagu “Puteri Sardu” karya Encik Johari Salleh yang peristiwanya berlegar disekitar kisah Raja perempuan Negeri Kota Mahligai yang jelita yang kasihnya bukan hanya kepada suaminya tetapi juga kepada rakyat jelatanya.

ii. Simfoni IV ( Pahlawanku)
Movement 1: Andantino/ Movement 2: Allegro
Lagu asal “Selamat Pergi Pahlawanku” dijadikan sebuah simfoni. Karya Encik Johari Salleh pada tahun 1996 ini adalah sebagai peringatan beliau kepada kesetiaan angkatan tentera demi kedaulatan dan keselamatan negara sewaktu keselamatan negara diancam oleh negara jirannya.

iii. Persembahan oleh Musly Ramli & Hasbi Harun
Musly Ramli memulakan nyayian lagu P.Ramlee iaitu lagu “ Getaran Jiwa” dan menceritakan riwayat hidup P. Ramlee setelah mengakhiri lagu tersebut.  Dengan berduet bersama Hasbi Harun, Musly menyampaikan lagu “Uda dan Dara”. Sketsa dari filem “Tiga Abdul” dipertontonkan oleh mereka selepas itu. Hasbi sekali lagi menyampaikan lagu berjudul “ Jeritan Batinku”

iv. Persembahan Kumpulan Koir UKM
Acara akhir Konsert Klasik UKM 2000 disudahi dengan persembahan Koir UKM yang menyampaikan tiga buah lagu iaitu “Les Medley”, Sejahtera dan Sejahtera Malaysia diiringi oleh orkestra Kuala Lumpur.

Komen:

? Keseluruhannya konsert ini telah dapat mempersembahkan irama muzik klasik dengan baik di bawah iringan orkestra DBKL.

? Pergerakan-pergerakan ahli muzik serta artis persembahan menampakkan ketertiban dalam usaha menghayati muzik klasik.

? Peranan lampu limpah juga telah dapat mengharmonikan lagi suasana yang simpel dan sentimental sesuai dengan hajat penganjur.

? Ruang yang luas dan tempat duduk yang banyak menyebabkan gambaran seolah-olah suasana konsert ini tidak dapat menarik ramai pengunjung.

? Keluasan pentas dewan telah diguna sebaik mungkin oleh pihak penganjur dengan sususan alat muzik dan ruang persembahan.

? Penghayatan muzik klasik di kalangan sebahagian penonton amat rendah memandangkan terdapat gangguan-ganguan semasa persembahaan-persembahan muzik sedang berjalan.

 

Kesimpulan

Syabas diucapkan kepada usaha Pusat Kebudayaan UKM dan Orkestra DBKL yang saban tahun telah memberikan komitmennya dalam memperkenalkan muzik klasik di kalangan pelajar. Usaha-usaha sebegini hendaklah diteruskan bukan hanya di tempat-tempat tertentu sahaja bahkan sepatutnya disasarkan juga kepada kalangan kanak-kanak dengan memperbanyakkan persembahan serta pendidikan muzik sejak di bangku sekolah terutamanya peranan alat muzik dalam muzik klasik  serta melodi yang di dendangkan.