TUGASAN





Tajuk :  Telesidang video dalam pendidikan

 Kemunculan teknologi sidang video telah dianggap sebagai salah satu pelengkap dalam bidang telekomunikasi berkos efektif terutamanya dalam aspek pembangunan komunikasi pelbagai hala. Dengan perkembangan begitu pesat dalam pembangunan infrastruktur teknologi telekomunikasi yang mencakupi perkembangan teknologi sidang video berjaya menyokong aplikasi-aplikasi multimedia setakat ini.

 Penggunaannya dalam pelbagai sektor berteknologi dijangka meluas di seluruh dunia dan kemunculannya juga telah mendapat perhatian di negara ini lebih-lebih lagi apabila era teknologi maklumat sedang rancak berkembang. Dalam perlaksanaan aplikasi perdana yang telah digariskan dalam projek koridor raya multimedia (MSC), teknologi telesidang video ini cuba dimanfaatkan semaksimum yang mungkin.

 Selaras dengan itu, kemudahan teknologi sidang video telah mula digunakan dalam pelbagai lapangan yang mementingkan aspek komunikasi yang cekap, cepat dan berkesan terutamanya dalam bidang perniagaan, penyiaran, pendidikan, kerajaan elektronik dan teleperubatan.
 
 

Telesidang video yang menggunakan komputer dan kamera televisyen untuk pindahkan imej video dan suara peserta kepada lokasi berjauhan yang mempunyai peralatan yang serasi. Perisian dan peralatan khusus digunakan untuk mendigitkan dan memampatkan imej video supaya dapat ditransmisikan melalui saluran komunikasi piawai.

 Kaedah ini amat bermanfaat dalam teknologi maklumat terutamanya dalam bidang pendidikan. Teknologi sidang video juga banyak membantu dalam proses pembelajaran dan pengajaran iaitu pembelajaran jarak jauh yang membolehkan sesuatu kelas dikendalikan dari lokasi yang berasingan. Pensyarah akan berada di sebuah pusat penyampaian syarahan dan beberapa kelas lain yang terletak berjauhan dari pusat tersebut boleh mengikuti kelas yang dikendalikan secara berterusan. Pada masa yang sama, pensyarah dan pelajar boleh berkomunikasi secara interaktif menerusi talian video seolah-olah mereka berada di dalam sebuah kelas yang sama.

 Kemudahan sidang video yang digunakan dalam pembelajaran jarak jauh juga boleh menyelesaikan beberapa masalah yang sebelum ini dihadapi ketika menyampaikan bahan-bahan pendidikan berkualiti dari lokasi yang jauh. Kemudahan ini menjadi semakin penting apabila sesebuah institusi pendidikan itu kekurangan kemudahan infrastruktur seperti pusat pembelajaran atau cawangan.

 Penggunaan telesidang video dalam bidang pendidikan kini, boleh dikatakan masih dalam peringkat permulaan kerana tidak begitu luas digunakan dengan sepenuhnya disebabkan oleh kekurangan peralatan dan perkhidmatan. Telesidamg video ini juga boleh digunakan bagi peringkat sekolah, bagi kemudahan interaksi dengan guru mata pelajaran atau guru kelas tambahan.  Telesidang video ini juga boleh digunakan untuk mengadakan kelas tambahan (tuisyen), yang ini dapat menjimatkan kos yang bersifat nyata dan tidak nyata. Kos yang nyata adalah seperti perbelanjaan untuk sesuatu perjalanan, manakala kos yang tidak nyata adalah seperti penggunaan masa dan tenaga.

Namun yang lebih penting, kemudahan ini dapat mengurangkan masalah dan potensi risiko yang berlaku ke atas individu itu ketika berada dalam perjalanan umpamanya kesesakan lalulintas dan kemalangan.

Telesidang video juga boleh digunakan oleh guru-guru untuk menghadiri kursus atau perbincangan yang berlangsung jauh dari sekolahnya tanpa memerlukan mereka bergerak secara fizikal  disamping dapat menjalankan tugas mereka di sekolah. Dengan ini kerajaan boleh menjimatkan kos perbelanjaan atau elaun yang harus diberikan kepada guru serta guru tidak perlu mengambil cuti untuk menghadiri kursus atau perbincangan tersebut.
 
 
 

Pelajar juga boleh berkomunikasi dengan rakan-rakan sekelasnya  berkaitan dengan tugasan atau pembelajaran dengan menggunakan telesidang video secara interaktif. Kemudahan ini juga membolehkan apa jua tugasan yang melibatkan pertemuan secara bersemuka dilaksanakan dengan lebih cekap dan cepat.

Telesidang video juga digunakan dalam pentadbiran dan pengurusan pendidikan iaitu bagi komunikasi secara interaktif antara kementerian pendidikan dengan jabatan-jabatan pendidikan dan jabatan-jabatan pendididkan dengan sekolah-sekolah serta pengetua dengan guru-guru atau kakitangan. Dengan menggunakan kemudahan ini sebarang maklumat atau pertemuan dapat dijalankan dengan lebih lancar, cepat dan tepat pada masanya. Tambahan pula, kemudahan ini mendorong untuk meningkatkan kekerapan pertemuan supaya dapat melicinkan lagi pentadbiran dan pengurusan penididkan.

Sebagai contoh USM Videonet telah menggunakan gelombang mikro yang menghubungkan USM Pulau Pinang dengan kampus-kampus cawangannya di Kelantan serta perak dan membolehkan penyediaan kemudahan sidang video di pusat-pusat wilayah bagi kegunaan pelajar-pelajar jarak jauh. Kaedah ini merupakan satu medium yang interaktif dan membenarkan pembelajaran kendiri pada tahap kemampuan pelajar di mana pelajar akan berusaha untuk memahami setap subjek pengajaran secara mendalam mengikut kesesuaian masa mereka.

Kita dapat menikmati banyak manfaat dengan menggunakan telesidang video dalam bidang pendidikan bersama dengan teknologi maklumat. Walaubagaimanapun, penggunaan telesidang video dalam pembelajaran terhad pada pusat-pusat pengajian tinggi dan institusi-institusi swasta kerana perisiannya yang mahal serta perkhidmatan yang terhad pada sesuatu kawasan.

Justeru, manfaat yang boleh dinikmati melalui kemudahan ini tidak seharusnya dipandang ringan terutamanya untuk mempastikan kecekapan dan keberkesanan dalam bidang telekomunikasi tanpa sempadan di negara ini.

Perisian telesidang video

 Bagi penggunaan telesidang video dalam bidang pendididkan memerlukan beberapa perisian yang khusus. Dengan berkonsepkan sidang video, unsur-unsur yang diutamakan ialah penghantaran mesej berbentuk data, audio dan video menerusi internet atau sesebuah rangkaian TCP/-IP. Dari segi perbandingan, saiz perisiannya lebih besar daripada perisian berborak dan sesuai dijalankan oleh sistem pengoperasian Windows.

CU-SeeMe : Kita boleh menjimatkan kos perjalanan untuk tujuan perjumpaan, perbincangan, mesyuarat atau seumpamanya jika menggunakan perisian sidang video ini dengan berkesan. Kehendak sistem : 10MB ruang cakera keras, modem berkelajuan 28.8 bps, piawaian serasi SLIP/PPP, kategori :perisian demo, saiz :5,926KB.

Internet Conference Professional :Dengan menggunakannya kita boleh berkongsi maklumat , dokumen, imej dan idea menerusi internet atau kemudahan rangkaian TCP/IP. Kehendak sisitem: Windows 95/NT, memori berkepasiti 8MB, cip pemproses 486, ruang cakera keras bersaiz 4MB, protokol rangkaian TCP/IP internet, kategori : perisian demo, saiz : 2546KB.

Microsoft NetMeeting : Ia merupakan salah satu perisian sidang video menerusi internet yang dikatakan terbaik setakat ini. Kehendak sisitem :Windows 95/NT, kategori: perisian versi beta, saiz : 2562KB.

 Perisian ini adalah hasil kecanggihan teknologi komunikasi menerusi internet di mana kita boleh menggunakannya dan memanfaatkannya. Namun  penggunaan yang tidak beretika atau menyeleweng boleh memberikan impak yang negatif.Justeru penggunaan perlulah secara bijaksana.