Esei

Tajuk : Teknologi Maklumat Dalam Kehidupan Satu Pandangan Holistik.


 


         Teknologi adalah suatu aspek penghasilan sains yang sifatnya memudahkan sesuatu.Dalam aspek teknologi maklumat (IT) ,teknologi di sini dilihat sebagai alat untuk mengumpul, menyimpan, memproses, menyebar dan mengguna maklumat. Aspek aplikasi IT bersifat dinamik dan merentas budaya.

         Kehidupan kita kini telah memasuki  alaf baru.Kalau dahulunya masyarakat sejagat sering menunggu ,membilang hari dan memperkatakan tentang kewujudannya.Kini masanya telah tiba.Kehadiran alaf baru serta angka 2000 yang dibawa olehnya mungkin tidak membawa sebarang kesan yang signifikan bagi sesetengah orang, mereka mungkin menganggap ianya tidak lebih dari sebuah angka untuk menetapkan peredaran masa.Namun bagi para penggiat serta industri yang terbabit di dalam industri Teknologi Maklumat,kehadiran alaf baru ini membawa bersama ujian yang besar buat mereka.
 
        Isu pepijat alaf pastinya merupakan antara ujian besar bukan sahaja kepada mereka tetapi juga industri itu sendiri.Memperkatakan mengenai isu pepijat alaf ini,masyarakat tidaklah harus merasa gundah gulana serta merasa tidak tenteram dengan kehadirannya.Ini adalah kerana tahap kesedaran serta langkah menanganinya sudah dimulakan secara agresif sejak beberapa tahun lepas .Di pentas tempatan ia mendapat perhatian yang istimewa dan usaha penyelesaian masalah tersebut dilaksanakan di peringkat nasional.Kesediaan serta usaha kita menangani isu pepijat alaf dengan serius turut mendapat pujian badan-badan kewangan dunia seperti Bank Dunia dan institusi-institusi lain. Tahap penyediaan kita dalam menghadapi permasalahan ini dikatakan menyamai tahap negara-negara membangun serta negara-negara  maju.
 
        Disebalik masalah kecil seperti pepijat alaf ini ,kehadiran alaf baru ini pastinya akan membawa pelbagai cabaran baru yang bakal kita hadapi.Tema, “Dunia Tanpa Sempadan Serta Perdagangan Bebas” yang menjadi antara ciri utama  yang mewarnakan arus globalisasi pastinya akan membuka pintu kepada kehadiran syarikat-syarikat besar serta gah untuk bersaing dalam pasaran yang sudah tiada batasan fizikalnya.Mahu ataupun tidak kita terpaksa memperkukuhkan kekuatan diri serta memantapkan keupayaan daya persaingan untuk bersaing dengan nama-nama besar ini.
 
        Sebenarnya kita tidaklah perlu merasa gusar dan bimbang. Ini adalah kerana  kita mampu menghasilkan serta mengeluarkan produk yang bukan sahaja menyerlah dan unggul tetapi berupaya memenuhi kehendak pengguna serta pasaran.Pasaran yang global akan menjadi milik kita.Sekarang adalah masanya untuk kita menggumpulkan kekuatan serta keyakinan diri untuk bertarung di dalam pasaran global.

         Selain daripada usaha yang berterusan melahirkan teknologi yang menyerlah yang mempunyai nilai-nilai tersendiri  serta berupaya membuka pasaran pengguna yang baru,usaha gigih dalam memperalihkan teknologi mutakhir juga haruslah dilaksanakan dengan giat serta berterusan.Malah ini juga rahsia kejayaan negara kecil seperti Jepun yang muncul sebagai kuasa ekonomi besar dunia selepas melalui zaman malap serta keruntuhan selepas era perang dunia ke-2.
 
        Selain daripada usaha-usaha peralihan teknologi yang begitu giat dilaksanakan melalui usahasama pemain tempatan dengan pemain –pemain global dalam pelbagai projek pembangunan serta inisiatif perniagaan teknologi maklumat,terdapat juga usaha-usaha lain yang harus dilaksanakan.Antaranya ialah  membawa balik pakar serta tenaga kerja mahir tempatan yang berada di luar negara bagi melicinkan lagi pasaran yang global.
 
        Para pelajar yang menuntut di luar negara khususnya di dalam bidang yang berkaitan dengan teknologi, haruslah bersedia untuk tinggal lebih lama disana untuk mengambil peluang mengutip kemahiran serta pengalaman kerja agar dapat dimanfaatkan sekembali ke tanahair.
Pelbagai kebaikan boleh kita lihat selaras dengan ledakan teknologi maklumat ini.Contohnya pada 17 Mei yang lalu Kementerian Pendidikan telah bersetuju untuk mewujudkan sekumpulan guru pengajar yang akan melatih semua guru mengenai kaedah pengajaran di Sekolah Bestari.Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Abdul Aziz Shamsudin,” Hasrat kerajaan adalah untuk melahirkan lebih ramai guru pengajar yang boleh melatih guru lain terutama kaedah mengajar sekolah bestari .” Beliau berkata kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Cisco System (M) Sdn. Bhd. bagi penubuhan Akademi Rangkaian Cisco di Malaysia .Mengenai akademi tersebut pihak yang terbabit akan menyediakan landasan ke arah mencapai transformasi dalam infrastruktur pendidikan bagi melahirkan masyarakat yang celik teknologi.

         Di dalam aspek lain pula ,kajian di merata dunia  di negara-negara membangun dan yang sedang membangun , menunjukkan bahawa Internet boleh dimanfaatkan untuk membangunkan wanita berilmu.Umpamanya lima tahun selepas penemuan wanita wanita di Beijing ,”The Global Women Action 2000” telah ditubuhkan di Internet supaya wanita di seluruh dunia dapat menyumbang maklumat yang boleh dijadikan ilmu oleh wanita di seluruh dunia. Ia dikendalikan oleh Women Action Network dan kandungannya disediakan oleh ahli-ahli peringkat kebangsaan dan peringkat serantau seperti :AWORC (The Asian Women’s Resaurce Exchange), FLAME (African Sisters Online), European Women Action 2000, ALAI (Ecuador) dan ISIS (Chile).Tujuan penubuhan Internet tersebut adalah supaya wanita daripada pelbagai pertubuhan di seluruh dunia dapat terus berhubung,bertukar-tukar pendapat, memberi semangat atau sekadar untuk meneruskan kesetiakawanan selepas pertemuan Beijing.Walaupun secara keseluruhan wanita online masih kurang berbanding dengan lelaki , tetapi Internet dikatakan alat paling berpengaruh yang boleh membantu wanita menyediakan jaringan serta mencari lebih banyak ‘ suara’ berbanding pada masa-masa lalu.Era digital ,ekonomi  digital,era maklumat atau k-ekonomi sudah wujud dan tidak akan hilang dengan mudah , malah teknologi yang wujud bersama dengannya tidak akan undur sebaliknya akan berkembang.

        Model perniagaan konvensional mengenai pemasaran ialah barangan,harga,tempat dan promosi.Di dalam Internet ,ia bukanlah tempat tetapi ruang atau halaman maya seperti alamat halaman web yang tidak bertempat tetapi sampai juga tanpa halangan jarak jauh.Aspek barangan yang lebih bersifat idea,maklumat dan tidak fizikal.Produk ini disifatkan sebagai info-product atau produk maklumat seperti e-mel,laporan,pesanan dan gambar.Produk ini adalah amat relevan dalam hidup harian semua manusia terutama bagi golongan bekerja dan sesebuah organisasi .

        Dengan menggunakan Internet , penghantaran produk sedemikian tidak lagi perlu kepada orang tengah dan kelewatan  ke destinasi tidak akan timbul.Kos simpanan serta kos penjagaan dapat dielakkan. Maka ini akan menurunkan harga produk secara mendadak. Cuba bayangkan menghantar e-mel memaklumkan barangan kepada seorang atau sejuta orang adalah sama harganya iaitu beberapa sen sahaja.Apabila penggunaan produk mereka mencapai jutaan ,iaitu lebih daripada 50% pengguna Internet yang terdiri daripada golongan muda-mudi yang berkebolehan serba-serbi dari segi cita rasa dan tahap hidup mereka  sudah tentu ia akan menjadi sasaran utama bagi pengiklan-pengiklan besar.Maka perhubungan jenama akan memperkayakan pembuat produk maya ini dalam sekelip mata sahaja.Ini semua dicapai tanpa mendirikan sebuah syarikat pun.

        Pemulihan daripada krisis ekonomi yang melanda baru-baru ini juga akan mendorong kepada peningkatan perbelanjaan IT terutama dari sektor kerajaan , syarikat telekomunikasi dan bank. Syarikat perundingan dan penyelidikan terkenal,International Data Corporation (IDC),meramalkan Malaysia akan mempunyai 1.89 juta pengguna Internet tahun ini dengan 1.06 juta peranti Internet akan digunakan di seluruh negara.Perniagaan e-dagang pula akan mencatatkan perolehan berjumlah RM1.6 bilion tahun ini dengan komputer  pelayan Internet  dan e-dagang akan mendapat permintaan yang tinggi.Penambahan syarikat pembekal perkhidmatan Internet (ISP) yang baru seperti Maxis Net dan Time Telekom dan juga perkhidmatan akses melalui telefon Protokol Aplikasi Tanpa Wayar (WAP) yang akan diperkenalkan tidak lama lagi juga menjadi faktor pendorong.Kemunculan syarikat-syarikat dotcom dan inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan untuk membantu mereka akan meningkatkan perbelanjaan IT di negara ini.Syarikat-syarikat dotcom ini naik secara menegak seperti pesawat Harrier  dan bukannya seperti pesawat biasa yang menggunakan landasan.

        Jika kita terlalu ghairah dengan kecanggihan Teknologi Maklumat masa kini jangan pula kita lupa dengan kesan-kesan disebaliknya.Tahukah kita bahawa siapa yang lambat ia akan ketinggalan .Memandangkan situasi begini tidak hairanlah bahawa 80% laman web dunia (WWW) adalah dalam bahasa Inggeris.Implikasinya bagi warganegara kita ialah andainya jika kita tidak (belum mampu) menguasai bahasa Inggeris dengan baik, sukarlah bagi kita untuk memanfaatkan segala maklumat dan pengetahuan yang ada di dunia maya ini.Menurut Setiusaha Majlis Teknologi Maklumat Negara (NITC), Tengku Datuk Dr. Azzman Shariffadeen ,kalangan Bumiputera di negara ini masih ketinggalan dalam teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) khususnya Internet berbanding bukan Bumiputera.Ini dapat dilihat dari jumlah pengguna dan pelanggan Internet yang ada di  negara ini yang sebahagian besarnya adalah dari kalangan penduduk di sekitar Lembah Kelang.Kebanyakan bukan bumiputera tinggal di kawasan seperti Lembah Kelang  atau bandar-bandar besar dan kawasan tersebut mempunyai kadar pengguna Internet tertinggi.Berbanding kawasan yang sebahagian besarnya dihuni oleh kalangan bumiputera ,kadar pengguna dan pelanggan Internet jauh lebih rendah.Malahan kebanyakan sekolah-sekolah kerajaan tidak mempunyai kemudahan komputer yang lebih lengkap seperti mana kebanyakan sekolah-sekolah jenis kebangsaan .ini menunjukkan kita bumiputera masih ketinggalan.Laporan NITC yang dikeluarkan sempena persidangan dan pameran INFOSOC Malaysia 2000 ,di Kuching minggu lalu menunjukkan Lembah Kelang mempunyai kadar pengguna Internet tertinggi di Malaysia.

        Faktor lain yang membimbangkan sekarang ialah ancaman keganasan siber di Internet yang boleh melumpuhkan keselamatan dan ekonomi sesebuah negara.Internet merupakan saluran paling berkesan untuk serangan propaganda, perang psikologi, pencerobohan politik dan budaya, ransangan, hasutan, salah lapor, khabar angin dan penipuan. Kerosakan akibat virus komputer “pepijat cinta” pada tahun lalu yang dianggarkan bernilai AS$10 bilion (RM 38 bilion) di seluruh dunia. Sehinggakan pada ketika itu Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Rumah Putih dan Agensi Keselamatan Nasional negara itu turut diserang. Walaupun Internet mempercepatkan aliran perdagangan ,ia juga menjadi saluran mudah bagi penyeludupan dadah, senjata, wanita, kanak-kanak dan wang haram. Pelbagai perkara negatif daripada penyebaran gambar-gambar lucah sehingga rangka pelan membuat bom boleh diperoleh dengan mudah menerusi Internet. Kini timbul pula pelbagai persoalan undang-undang di ruang siber dan antaranya ialah,” Bagaimanakah dunia maya ini boleh dikawal, dan jika boleh, oleh siapa?” , Andainya berlaku satu jenayah siber, negara manakah yang ada bidang kuasa menjalankan proses perundangan dan kehakiman ke atas tertuduh dan menjatuhkan hukuman yang setimpal andainya kesalahan itu telah disabitkan?”,” Apakah sudah wujud peraturan yang lengkap supaya transaksi talian bukan hanya selamat, tetapi terlindung daripada diketahui oleh orang lain?”, “Andainya hak intelek pihak tertentu digugat atau dicerobohi oleh pihak lain, apakah remedi yang ada bagi pihak itu?” , “Andainya pedagang atau orang lain hendak berurusniaga di ruang siber , apakah undang-undang kontrak dan komersil tradisi masih boleh dipakai?” ,” Andainya X mendedahkan maklumat peribadinya kepada Y, apakah sudah ada peraturan yang memastikan maklumat itu tidak akan didedahkan oleh Y kepada Z di kemudian hari?” ,” Andainya anda menghantar e-mel kepada sahabat anda di sebuah negara asing, apakah sudah ada peraturan yang menghalang orang lain mengintai atau menyekat mesej yang hendak anda sampaikan itu?” Yang menjadi masalah , seperti biasa , ialah bahawa bukan mudah mewujudkan satu undang-undang yang baru.Apatah lagi dalam keadaan di mana perkembangan yang berlaku di ruang siber begitu pantas sekali.Sebahagian undang-undang tradisi yang sedia ada mungkin masih boleh dipakai ( dengan adaptasi yang perlu) ,tetapi pastinya yang lebih baik  undang-undang yang khusus bagi dunia maya ini diwujudkan dalam jangka masa yang terdekat. Ada yang berpendapat ruang siber dibiarkan sahaja untuk mengawal dirinya sendiri (self regulation) .Sehubungan denganini perlu diingat bahawa ruang siber itu bukan satu tempat yang homogenous .Dalam ruang siber itu juga terdapat sektor-sektor tertentu. Mengikut pendapat pakar dalam bidang ini, terdapat ‘sempadan dalam sempadan ‘ dalam dunia maya itu.Antara satu sektor dengan sektor lain, terdapat sempadan yang diwujudkan oleh screens dan passwords  dan untuk seseorang itu melayari satu sektor ke sektor lain ia perlu dibekalkan dengan alat atau kelengkapan tertentu.

        Mengenai jenayah siber pula antara masalah yang timbul ialah ada kalanya kewujudan jenayah itu tidak ketara ( tidak diketahui oleh mangsanya) hingga sudah terlambat.Selain jenayah siber seperti pencerobohan (hacking), curi atau tipu, keganasan siber, seperti  cyber stalking dan hale speech  ,Internet boleh juga digunakan oleh penjenayah bagi melakukan jenayah tradisi seperti pengedaran daddah , money loundering , paedophiles dan sebagainya.Yang merunsingkan kerajaan dan pakar undang-undang ialah sementara Internet memang boleh mendatangkan banyak menfaat kepada pengguna, dalam masa yang sama peluang untuk melakukan jenayah siber juga bertambah .Masalah ini menjadi tenat kerana kemampuan negara untuk menghalang, mengesan dan menghukum penjenayah siber ini masih lagi di tahap yang rendah, kadang kala atas dasar  try and error  sahaja.Selain itu mungkin mangsa jenayah itu sendiri rasa keberatan untuk melaporkan jenayah itu disebabkan mungkin akan timbul reputasi yang negatif darinya.
 
        Yang terakhir ini pula walaupun dianggap remeh tetapi benar-benar berlaku.Perkembangan drastik  melanda teknologi maklumat sekarang dan timbul persoalan bagaimanakah nasib dan masa depan buku-buku konvensional.Mungkinkah tabiat atau budaya membaca akan terus lenyap di kalangan masyarakat kita  kerana sekarang ini pun rakyat negara ini memang sudah dikenali sebagai rakyat yang kurang membaca? Ledakan teknologi maklumat yang berasaskan elektronik dilihat memang boleh menggangu kerancakan penerbitan buku-buku dan sekaligus mengubah gaya dan minat pembaca.Penerbit-penerbit buku terpaksa bertarung dengan teknologi baru ini untuk memastikan buku-buku akan terus menjadi pilihan orang ramai terutamanya kanak-kanak ataupun terpaksa berdepan  dengan kenyataan bahawa e-reading akan mengambil alih peranannya lantas membiarkan buku-buku tinggal usang diselaputi habuk dan kuning dimamah usia.Pada masa kini ,kaedah membeli buku secara on-line juga memaksa kedai-kedai buku untuk gulung tikar.

        Namun begitu kita sebagai masyarakat  tidak dapat mengelak daripada menerima kehadiran IT dan Internet dalam kehidupan .Lambat dan cepat penerimaan kitalah yang menentukan survival negara dan rakyat. Mulakan langkah belajar dan mencari maklumat berkenaan IT .Hal ini perlu bagi menginsafi pentingnya masyarakat  kita memanfaatkan IT .Ini adalah supaya kita menjadi masyarakat  bermaklumat, berilmu dan menyebar luaskan nilai-nilai budaya murni yang menjadi pegangan kita umat Islam .Ini juga bagi menangkis salah tanggapan masyarakat dunia terhadap Islam dan menjadi benteng pertahanan bagi menjawab semua hasutan para orientalis barat.